Assalamualaikum...


(✿
Hanya kisah aNNa. Hanya [bebelan] aNNa.
Hitam putih hidupku. Terus mencari cahaya demi menyuluh kegelapan.
Senyum Sampai Pengsan! )

Friday, June 1, 2012

Pendidikan Terbaik Dari Kaca Mata aNNa


PENDAHULUAN


Memetik kata-kata dari Naib Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF), Tan Sri Lee Lam Thye, pembabitan kanak-kanak, pelajar dan remaja dalam kes jenayah merupakan satu trend yang membimbangkan kerana ada pelajar seawal 15 tahun telah terlibat dalam kes pembuangan anak, penyalahgunaan dadah, berjudi serta pelbagai gejala sosial lain. Nilai murni dan kepatuhan kepada undang-undang, katanya, kini tidak lagi menjadi panduan kepada tingkah laku segelintir remaja. Ketika sebuah negara membangun, institusi kekeluargaan menjadi mangsa pertama kerana kanak-kanak tidak mendapat perhatian dan panduan yang cukup yang mengakibatkan kewujudan pelbagai gejala sosial.

Jika difikirkan secara logik, keadaan ini tidak seharusnya berlaku kerana setiap kanak-kanak hinggalah ke peringkat remaja dan orang dewasa telah menerima pendidikan secara langsung atau tidak langsung daripada ibu bapa, penjaga dan guru-guru di sekolah. Namun, Berita Harian, Januari 2011 melaporkan 1.27 peratus daripada 5.4 juta pelajar sekolah di negara ini terbabit dalam kes disiplin dalam tempoh Januari hingga Jun tahun lalu. Jika masalah ini tidak dibendung, ia akan menyumbang kepada perpecahan antara kanak-kanak dan keluarga serta peningkatan masalah sosial dan jenayah golongan muda. Maka, persoalan timbul mengenai punca kepada permasalahan ini. Adakah pendidikan yang sedang kita amalkan kini tidak berkesan sedangkan pendidikan seharusnya menjadi wadah kepada pembentukan insan yang terbaik.

Masalah sosial di kalangan remaja adalah pada tahap yang membimbangkan. Saya telah membentangkan laporan statistik masalah sosial di kalangan remaja seterusnya membawa kepada masalah jenayah yang lebih serius di kalangan orang dewasa termasuklah orang tua. Saya membuat kesimpulan, semua masalah-masalah kecil jika tidak diberi perhatian serius akan membawa kepada permasalahan yang lebih besar lagi. Tidak ada kanak-kanak yang apabila ditanya oleh gurunya tentang cita-cita mereka, memberi jawapan untuk menjadi penjenayah, perogol, pencuri dan sebagainya. Segalanya bermula dari jalan-jalan kecil dan akhirnya ia menjadi darah daging sehingga hati tidak lagi merasa bersalah apabila melakukan kesalahan tersebut.


Saya bawa contoh kepada kes pembuangan anak di kalangan remaja. Semasa remaja ini belum terjebak dengan masalah serius ini, dia sudah tentu tidak mahu terjebak ke kancah yang penuh kehinaan ini. Mustahil dalam keadaan berfikiran waras dia memilih untuk melakukan perbuatan yang sangat memalukan ini. Jadi, di manakah dia titik mula kepada perbuatan membuang anak ini? Sudah tentu dari jalan-jalan kecil iaitu pergaulan tanpa batas di antara lelaki dan perempuan. Perkenalan yang dimulakan dengan hanya mahu bertanya khabar melalui sms, seterusnya melangkah kepada fasa berbual-bual di telefon walaupun sebenarnya tiada urusan penting yang perlu dibincangkan. Pada awalnya, niat di hati mungkin hanya untuk mengisi masa lapang semata-mata namun berakhir dengan ketagihan. Apabila diri kosong tanpa kekuatan dalaman yang mantap, maka terjadilah perkara yang tidak diingini iaitu perzinaan. Situasi ini amat menyedihkan kerana remaja tersebut telah memilih jalan yang merendahkan maruah dirinya sendiri. Keadaan akan menjadi lebih parah apabila tiada insan yang boleh menolong sehingga remaja tersebut akan membuat keputusan sendiri dalam keadaan emosi yang kelam kabut kerana dia sudah tidak mampu lagi untuk berfikir dengan waras.


PENDIDIKAN TERBAIK DARIPADA KACA MATA SAYA


Pendidikan dari dalam jiwa, menyentuh hati dan perasaan, penekanan kepada aspek kerohanian, intelektual dan jasmani seterusnya membentuk akhlak yang mulia dalam diri setiap pelajar.



Ya, saya sangat mementingkan pendidikan dengan membangunkan diri seseorang dari dalam di mana saya yakin pendidikan sebegini adalah lebih utuh dan akan kekal dalam sanubari para pelajar. Apabila kekuatan dalaman berjaya dipupuk dan dibentuk mengikut acuan yang berpandukan kebenaran yang sahih, tiada apa yang perlu dirisaukan kerana sudah tentu ia akan membawa bersama prinsip dan peraturan yang memagari diri mereka dalam setiap apa jua keadaan. Dari segi metafizik, ia mungkin tidak boleh dilihat dengan mata kasar tetapi kekuatan dalaman ini sebenarnya lebih kuat daripada kekuatan fizikal kita. Ia akan menuntun manusia khasnya para pelajar supaya dapat memilih jalan yang betul dan mengurangkan risiko daripada tersasar dari matlamat hidup yang sebenar. Lumrah hidup sebagai seorang remaja sememangnya menginginkan kebebasan dan jiwa pula sarat dengan perasaan ingin tahu atau perasaan ingin mencuba sesuatu yang baru. Jika fitrah ini diletakkan pada tempat yang betul sudah tentu ia akan membuahkan sesuatu yang luar biasa dalam kehidupan remaja tersebut. Namun, bagaimana pula jika ia disalurkan hanya mengikut perasaan tanpa dapat memikirkan baik buruk pilihan yang dibuat. Contohnya, seorang remaja yang melihat rakannya merokok berkemungkinan ingin merasai atau mencuba untuk merokok kerana perasaan ingin tahu yang menebal di dalam diri. Di sinilah pentingnya kekuatan dalaman yang perlu dipupuk dan disemai dalam diri seseorang remaja dan ia boleh disalurkan melalui pendidikan. 


Kekuatan dalaman ini hendaklah berpayungkan kepada sesuatu yang Maha Berkuasa supaya ia dapat membekalkan aura positif yang memberi kekuatan dalam kehidupan. Apabila menyebut tentang kuasa, ia adalah sesuatu yang hebat dan tidak ada manusia yang mempunyai kuasa sehebat ini. Maka, ia sudah tentulah dipunyai oleh Tuhan. Tuhan mempunyai kuasa yang tidak ada tolok bandingnya bagi membantu manusia menjalani kehidupan seharian. Alangkah beruntungnya bagi seorang pelajar yang belajar dan pada masa yang sama dia sentiasa mengaitkan kehidupannya sebagai seorang pelajar dengan Tuhan. Apabila menemui kejayaan dalam pelajaran, dia bersyukur kepada Tuhan dan walaupun dia gagal dalam pelajaran, dia akan tetap kembali kepada Tuhan. Oleh yang demikian, tiada istilah putus asa kerana dia mempercayai setiap apa yang berlaku adalah dalam pengawasan Tuhan yang Maha Berkuasa maka ketenangan akan menyimbahi diri malah jiwanya akan disuburi dengan ketenangan dan kedamaian yang dikurniakan oleh Tuhan. Dia akan merasakan dirinya sentiasa dijaga dan dilindungi maka setiap kesusahan akan dapat diharungi dengan tabah.



Kekuatan dalaman ini berkait rapat dengan hati. Setiap manusia mempunyai hati dan hati ini memainkan peranan dalam setiap gerak geri dan tingkah laku seorang manusia yang normal. Pendidikan yang berkesan mesti mempunyai elemen yang akan menyuburkan hati-hati manusia. Ini berdasarkan kenyataan, jika baik hati seorang manusia, maka baiklah keseluruhan dirinya dan begitulah sebaliknya. Maka, tidak ada sebab mengapa pendidikan dari hati disisihkan dan hanya dipandang sebelah mata sedangkan setiap pelakuan manusia didasari oleh pilihan hati mereka. Contohnya, seorang pelajar yang akan menghadapi peperiksaan dalam dilema apabila rakannya mengajaknya untuk keluar menonton wayang sedangkan dia perlu memanfaatkan masa tersebut untuk mengulangkaji pelajaran. Keadaan ini telah mewujudkan rasa berbelah bahagi dalam diri sama ada mengikut rakannya atau keluar menonton wayang. Perasaan yang wujud ini sudah tentunya datang daripada hati dan hanya hati yang bersih dan kuat akan berjaya menolak semua keseronokan yang bersifat sementara ini. Hati yang kotor pula akan hanyut dengan godaan keseronokan hingga membawa kemusnahan dalam hidup dengan tanpa mereka sedari. Maka, dapat dilihat hati manusia berperanan penting dalam membentuk keperibadian seseorang dan pendidikanlah yang menjadi wadah dalam menjana hati nurani yang suci dan bersih.


Jika dikaitkan dengan permasalahan di muka surat pertama, beruntunglah remaja yang mendapat didikan yang benar daripada Al-Quran dan Al-Sunnah. Bukan membiarkan diri dididik dan tunduk kepada kepuasan rakan sebaya, orang sekeliling dan realiti yang bercanggah dengan kebenaran. Pendidikan yang benar seharusnya bersumberkan panduan dan petunjuk yang benar juga. Ibarat membawa kereta di jalan raya memerlukan bantuan papan tanda petunjuk arah supaya dapat sampai ke destinasi yang ingin dituju. Al-Quran dan Al-Sunnah, dua sumber ini yang akan menyelamatkan kita daripada terhumban ke dalam kesesatan. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud, “Aku meninggalkan kamu dua perkara, tak kan sesat siapa yang berpegang kepada keduanya, kitab Allah dan sunnah Rasul-Nya.” (Hadis riwayat Malik). 


Oleh yang demikian, pendidikan di sekolah haruslah diberi pengisian bukan sahaja aspek keduniaan tetapi juga aspek kerohanian yang menjanjikan penghidupan manusia yang lebih bererti. Subjek teras seperti bidang sains dan matematik sudah tentu diperlukan untuk kemajuan dalam pembinaan tamadun manusia yang terunggul dan seterusnya subjek berbentuk kerohanian dan pembentukan jati diri manusia akan melengkapi segenap aspek kehidupan manusia. Pelajar seharusnya diberi peluang untuk mencari dan memilih bidang yang mereka minati dengan panduan serta bantuan daripada ibu bapa dan guru. Tiada isu pelajar lemah atau pelajar pandai kerana setiap daripada mereka berbeza kecerdasan akal dan fikiran. Pelajar A mungkin mempunyai kemahiran dalam bidang matematik sementara pelajar B mempunyai kemahiran dalam bidang kesenian di mana kedua-duanya boleh mencapai tahap keintelektualan yang tinggi. Mereka dilahirkan dengan perbezaan kebolehan tetapi mereka memerlukan antara satu sama lain kerana kemahiran tersebut akan melengkapi keperluan dalam kehidupan. Apa yang membezakan adalah kekuatan dalaman mereka, kepercayaan, semangat jati diri dan kemahuan serta kehendak mereka dalam kehidupan. Maka, perkara tersebut perlu diberi perhatian agar mereka tidak ketinggalan dan mempunyai kesedaran tentang tugas dan tanggungjawab atau amanah mereka sebagai seorang pelajar.



PENUTUP


“Benih yang BAIK, walau tercampak di mana jua pasti kan bercambah. Dan batu permata, meskipun tenggelam di dasar lautan pastikan kelihatan KILAUAN cahayanya.”


Daripada kata mutiara di atas, dapat disimpulkan kekuatan dalaman pelajar yang diberi peneguhan akan mengelakkan pelajar tersasar memilih jalan dalam kehidupan. Walau apapun cabaran yang mendatang dalam kehidupan pelajar tersebut, mereka akan berusaha untuk menangkis sehabis-habisnya kerana mereka mempunyai kekuatan luar biasa yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar. Apabila dalaman telah kuat, maka secara tidak langsung mereka akan beroleh kejayaan walau dalam apa jua bidang yang mereka ceburi.


p/s: Hanya sedikit cetusan pendapat daripada Cikgu aNNa yang juga masih terkedek-kedek terus memperbaharui diri...

2 comments:

  1. huhu.. beratnya la entry ni... assignment ke? =p

    ReplyDelete
  2. haha...betuL!!
    assignment falsafah pendidikan..

    ReplyDelete