PENDAHULUAN
Memetik
kata-kata dari Naib Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF), Tan
Sri Lee Lam Thye, pembabitan kanak-kanak, pelajar dan remaja dalam kes jenayah
merupakan satu trend yang membimbangkan kerana ada pelajar seawal 15 tahun
telah terlibat dalam kes pembuangan anak, penyalahgunaan dadah, berjudi serta
pelbagai gejala sosial lain. Nilai murni dan kepatuhan kepada undang-undang,
katanya, kini tidak lagi menjadi panduan kepada tingkah laku segelintir remaja.
Ketika sebuah negara membangun, institusi kekeluargaan menjadi mangsa pertama
kerana kanak-kanak tidak mendapat perhatian dan panduan yang cukup yang
mengakibatkan kewujudan pelbagai gejala sosial.
Jika
difikirkan secara logik, keadaan ini tidak seharusnya berlaku kerana setiap
kanak-kanak hinggalah ke peringkat remaja dan orang dewasa telah menerima
pendidikan secara langsung atau tidak langsung daripada ibu bapa, penjaga dan guru-guru
di sekolah. Namun, Berita Harian, Januari 2011 melaporkan 1.27 peratus daripada 5.4 juta pelajar sekolah di negara ini
terbabit dalam kes disiplin dalam tempoh Januari hingga Jun tahun lalu. Jika
masalah ini tidak dibendung, ia akan menyumbang kepada perpecahan antara
kanak-kanak dan keluarga serta peningkatan masalah sosial dan jenayah golongan
muda. Maka, persoalan timbul mengenai punca kepada permasalahan ini. Adakah
pendidikan yang sedang kita amalkan kini tidak berkesan sedangkan pendidikan
seharusnya menjadi wadah kepada pembentukan insan yang terbaik.
Masalah sosial di
kalangan remaja adalah pada tahap yang membimbangkan. Saya telah membentangkan
laporan statistik masalah sosial di kalangan remaja seterusnya membawa kepada
masalah jenayah yang lebih serius di kalangan orang dewasa termasuklah orang
tua. Saya membuat kesimpulan, semua masalah-masalah kecil jika tidak diberi perhatian
serius akan membawa kepada permasalahan yang lebih besar lagi. Tidak ada
kanak-kanak yang apabila ditanya oleh gurunya tentang cita-cita mereka, memberi
jawapan untuk menjadi penjenayah, perogol, pencuri dan sebagainya. Segalanya
bermula dari jalan-jalan kecil dan akhirnya ia menjadi darah daging sehingga
hati tidak lagi merasa bersalah apabila melakukan kesalahan tersebut.
Saya bawa contoh
kepada kes pembuangan anak di kalangan remaja. Semasa remaja ini belum terjebak
dengan masalah serius ini, dia sudah tentu tidak mahu terjebak ke kancah yang
penuh kehinaan ini. Mustahil dalam keadaan berfikiran waras dia memilih untuk
melakukan perbuatan yang sangat memalukan ini. Jadi, di manakah dia titik mula
kepada perbuatan membuang anak ini? Sudah tentu dari jalan-jalan kecil iaitu
pergaulan tanpa batas di antara lelaki dan perempuan. Perkenalan yang dimulakan
dengan hanya mahu bertanya khabar melalui sms,
seterusnya melangkah kepada fasa berbual-bual di telefon walaupun
sebenarnya tiada urusan penting yang perlu dibincangkan. Pada awalnya, niat di
hati mungkin hanya untuk mengisi masa lapang semata-mata namun berakhir dengan
ketagihan. Apabila diri kosong tanpa kekuatan dalaman yang mantap, maka
terjadilah perkara yang tidak diingini iaitu perzinaan. Situasi ini amat
menyedihkan kerana remaja tersebut telah memilih jalan yang merendahkan maruah
dirinya sendiri. Keadaan akan menjadi lebih parah apabila tiada insan yang
boleh menolong sehingga remaja tersebut akan membuat keputusan sendiri dalam
keadaan emosi yang kelam kabut kerana dia sudah tidak mampu lagi untuk berfikir
dengan waras.
PENDIDIKAN
TERBAIK DARIPADA KACA MATA SAYA
Pendidikan dari dalam jiwa,
menyentuh hati dan perasaan, penekanan kepada aspek kerohanian, intelektual dan
jasmani seterusnya membentuk akhlak yang mulia dalam diri setiap pelajar.
Ya, saya sangat
mementingkan pendidikan dengan membangunkan diri seseorang dari dalam di mana
saya yakin pendidikan sebegini adalah lebih utuh dan akan kekal dalam sanubari
para pelajar. Apabila kekuatan dalaman berjaya dipupuk dan dibentuk mengikut
acuan yang berpandukan kebenaran yang sahih, tiada apa yang perlu dirisaukan
kerana sudah tentu ia akan membawa bersama prinsip dan peraturan yang memagari
diri mereka dalam setiap apa jua keadaan. Dari segi metafizik, ia mungkin tidak
boleh dilihat dengan mata kasar tetapi kekuatan dalaman ini sebenarnya lebih
kuat daripada kekuatan fizikal kita. Ia akan menuntun manusia khasnya para
pelajar supaya dapat memilih jalan yang betul dan mengurangkan risiko daripada
tersasar dari matlamat hidup yang sebenar. Lumrah hidup sebagai seorang remaja
sememangnya menginginkan kebebasan dan jiwa pula sarat dengan perasaan ingin
tahu atau perasaan ingin mencuba sesuatu yang baru. Jika fitrah ini diletakkan
pada tempat yang betul sudah tentu ia akan membuahkan sesuatu yang luar biasa
dalam kehidupan remaja tersebut. Namun, bagaimana pula jika ia disalurkan hanya
mengikut perasaan tanpa dapat memikirkan baik buruk pilihan yang dibuat.
Contohnya, seorang remaja yang melihat rakannya merokok berkemungkinan ingin
merasai atau mencuba untuk merokok kerana perasaan ingin tahu yang menebal di
dalam diri. Di sinilah pentingnya kekuatan dalaman yang perlu dipupuk dan
disemai dalam diri seseorang remaja dan ia boleh disalurkan melalui pendidikan.
Kekuatan dalaman ini
hendaklah berpayungkan kepada sesuatu yang Maha Berkuasa supaya ia dapat
membekalkan aura positif yang memberi kekuatan dalam kehidupan. Apabila
menyebut tentang kuasa, ia adalah sesuatu yang hebat dan tidak ada manusia yang
mempunyai kuasa sehebat ini. Maka, ia sudah tentulah dipunyai oleh Tuhan. Tuhan
mempunyai kuasa yang tidak ada tolok bandingnya bagi membantu manusia menjalani
kehidupan seharian. Alangkah beruntungnya bagi seorang pelajar yang belajar dan
pada masa yang sama dia sentiasa mengaitkan kehidupannya sebagai seorang
pelajar dengan Tuhan. Apabila menemui kejayaan dalam pelajaran, dia bersyukur
kepada Tuhan dan walaupun dia gagal dalam pelajaran, dia akan tetap kembali
kepada Tuhan. Oleh yang demikian, tiada istilah putus asa kerana dia
mempercayai setiap apa yang berlaku adalah dalam pengawasan Tuhan yang Maha
Berkuasa maka ketenangan akan menyimbahi diri malah jiwanya akan disuburi
dengan ketenangan dan kedamaian yang dikurniakan oleh Tuhan. Dia akan merasakan
dirinya sentiasa dijaga dan dilindungi maka setiap kesusahan akan dapat
diharungi dengan tabah.

Kekuatan dalaman ini
berkait rapat dengan hati. Setiap manusia mempunyai hati dan hati ini memainkan
peranan dalam setiap gerak geri dan tingkah laku seorang manusia yang normal.
Pendidikan yang berkesan mesti mempunyai elemen yang akan menyuburkan hati-hati
manusia. Ini berdasarkan kenyataan, jika baik hati seorang manusia, maka
baiklah keseluruhan dirinya dan begitulah sebaliknya. Maka, tidak ada sebab
mengapa pendidikan dari hati disisihkan dan hanya dipandang sebelah mata
sedangkan setiap pelakuan manusia didasari oleh pilihan hati mereka. Contohnya,
seorang pelajar yang akan menghadapi peperiksaan dalam dilema apabila rakannya
mengajaknya untuk keluar menonton wayang sedangkan dia perlu memanfaatkan masa
tersebut untuk mengulangkaji pelajaran. Keadaan ini telah mewujudkan rasa
berbelah bahagi dalam diri sama ada mengikut rakannya atau keluar menonton
wayang. Perasaan yang wujud ini sudah tentunya datang daripada hati dan hanya hati
yang bersih dan kuat akan berjaya menolak semua keseronokan yang bersifat
sementara ini. Hati yang kotor pula akan hanyut dengan godaan keseronokan
hingga membawa kemusnahan dalam hidup dengan tanpa mereka sedari. Maka, dapat
dilihat hati manusia berperanan penting dalam membentuk keperibadian seseorang
dan pendidikanlah yang menjadi wadah dalam menjana hati nurani yang suci dan bersih.
Jika dikaitkan dengan
permasalahan di muka surat pertama, beruntunglah remaja yang mendapat didikan
yang benar daripada Al-Quran dan Al-Sunnah. Bukan membiarkan diri dididik dan
tunduk kepada kepuasan rakan sebaya, orang sekeliling dan realiti yang
bercanggah dengan kebenaran. Pendidikan yang benar seharusnya bersumberkan
panduan dan petunjuk yang benar juga. Ibarat membawa kereta di jalan raya
memerlukan bantuan papan tanda petunjuk arah supaya dapat sampai ke destinasi
yang ingin dituju. Al-Quran dan Al-Sunnah, dua sumber ini yang akan
menyelamatkan kita daripada terhumban ke dalam kesesatan. Sabda Rasulullah SAW
yang bermaksud, “Aku meninggalkan kamu dua perkara, tak kan sesat siapa yang
berpegang kepada keduanya, kitab Allah dan sunnah Rasul-Nya.” (Hadis riwayat
Malik).
Oleh yang demikian,
pendidikan di sekolah haruslah diberi pengisian bukan sahaja aspek keduniaan
tetapi juga aspek kerohanian yang menjanjikan penghidupan manusia yang lebih
bererti. Subjek teras seperti bidang sains dan matematik sudah tentu diperlukan
untuk kemajuan dalam pembinaan tamadun manusia yang terunggul dan seterusnya
subjek berbentuk kerohanian dan pembentukan jati diri manusia akan melengkapi
segenap aspek kehidupan manusia. Pelajar seharusnya diberi peluang untuk
mencari dan memilih bidang yang mereka minati dengan panduan serta bantuan
daripada ibu bapa dan guru. Tiada isu pelajar lemah atau pelajar pandai kerana
setiap daripada mereka berbeza kecerdasan akal dan fikiran. Pelajar A mungkin
mempunyai kemahiran dalam bidang matematik sementara pelajar B mempunyai
kemahiran dalam bidang kesenian di mana kedua-duanya boleh mencapai tahap
keintelektualan yang tinggi. Mereka dilahirkan dengan perbezaan kebolehan tetapi
mereka memerlukan antara satu sama lain kerana kemahiran tersebut akan
melengkapi keperluan dalam kehidupan. Apa yang membezakan adalah kekuatan
dalaman mereka, kepercayaan, semangat jati diri dan kemahuan serta kehendak
mereka dalam kehidupan. Maka, perkara tersebut perlu diberi perhatian agar
mereka tidak ketinggalan dan mempunyai kesedaran tentang tugas dan
tanggungjawab atau amanah mereka sebagai seorang pelajar.
PENUTUP
“Benih
yang BAIK, walau tercampak di mana jua pasti kan bercambah. Dan batu permata,
meskipun tenggelam di dasar lautan pastikan kelihatan KILAUAN cahayanya.”
Daripada kata mutiara
di atas, dapat disimpulkan kekuatan dalaman pelajar yang diberi peneguhan akan
mengelakkan pelajar tersasar memilih jalan dalam kehidupan. Walau apapun
cabaran yang mendatang dalam kehidupan pelajar tersebut, mereka akan berusaha
untuk menangkis sehabis-habisnya kerana mereka mempunyai kekuatan luar biasa
yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar. Apabila dalaman telah kuat, maka
secara tidak langsung mereka akan beroleh kejayaan walau dalam apa jua bidang
yang mereka ceburi.
p/s: Hanya sedikit cetusan pendapat daripada Cikgu aNNa yang juga masih terkedek-kedek terus memperbaharui diri...